Translate

Saturday, October 20, 2018

TFC I optimis menang

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

SKUAD Terengganu Football Club I (TFC I) bakal bertandang ke Larkin untuk aksi separuh akhir kedua menentang Johor Darul Ta’ zim (JDT), Sabtu ini dengan reputasi tidak pernah kecundang di gelanggang lawan sepanjang saingan Piala Malaysia setakat ini.

Pengendali TFC I, Irfan Bakti Abu Salim berkata, rekod bersih itu diharap terus menjadi magis kepada anak-anak buahnya untuk mengecewakan skuad Harimau Selatan di hadapan puluhan ribu penyokong sendiri nanti.

“Kami mempunyai motivasi tertinggi untuk mengulangi pencapaian mara ke final Piala Malaysia yang kali terakhir dilakukan pada tahun 2011.

“Bukannya kami hendak menidakkan reputasi JDT sebagai pasukan yang gah di negara ini tetapi kami berkeya­kinan bukan mustahil mereka mampu dijinakkan di laman sendiri,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kuala Nerus semalam.

Irfan berkata, kelebihan satu gol yang diperoleh sewaktu aksi separuh akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu awal bulan ini harus dipertahankan bagi merealisasikan impian mereka mara ke final.

Justeru, jurulatih berpengalaman itu mengingatkan anak-anak buahnya agar tetap fokus kepada strategi dan taktikal yang direncanakannya sepanjang tempoh 90 minit perlawanan kelak.

“Tempoh 90 minit aksi separuh masa kedua ini boleh jadi lama, boleh jadi sekejap buat kita (TFC I), bergantung pada cara beraksi di padang.

“Para pemain perlu kekal fokus sehingga wisel penamat ditiupkan. Rentak permainan kita tidak harus terjejas de­ngan sorakan padu puluhan ribu penyokong JDT di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos nanti,” katanya.

Irfan memberitahu, beliau telah meminta pemain-pemain berpengalaman luas seperti kap­ten pasukan, Tchetche Kipre, Lee Tuck dan Igor Zonjic untuk membimbing rakan sepasukan agar kekal tenang dan terus mempamerkan aksi terbaik pada pertemuan penting itu kelak.

Pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada 6 Oktober lalu, skuad Penyu mencipta kejutan apabila menewaskan JDT 1-0 hasil jari­ngan penyerang gantian, Abdul Malik Mat Ariff.

No comments:

Post a Comment