MOHD. AZLI ADLAN
KUALA NERUS - Atlet berbasikal, Nur Aisyah Mohamad Zubir menerima insentif ganjaran kemenangan Kontijen Terengganu Sukma Perak 2018 terbesar apabila meraih ganjaran wang tunai RM21,000 daripada kerajaan negeri.
Tambah manis, ratu acara berbasikal lebuh raya Terengganu dari Kemaman itu turut dihadiahkan pakej mengerjakan ibadah umrah di tanah suci Mekah atas kecemerlangannya memenangi tujuh pingat emas pada kejohanan dwi-tahunan tersebut baru-baru ini.
Nur Aisyah, 21, merangkul pingat emas dalam acara ujian masa individu wanita 30 kilometer (km), lumba lebuh raya individu wanita 80 km, kriterium wanita 50 km, scratch wanita 10 km, kejar-mengejar individu wanita 3 km, keirin wanita dan kejar-mengejar berpasukan wanita 4 km.
Beliau yang juga atlet pelapis berbasikal kebangsaan berkata, insentif terbabit menjadi perangsang buatnya untuk terus bekerja keras bagi meletakkan diri sebagai pelumba berbasikal bertaraf dunia suatu hari nanti.
"Saya juga terharu menerima ganjaran pakej mengerjakan ibadah umrah yang sebelum ini dijanjikan kepada atlet Terengganu yang menjadi Olahragawan dan Olahragawati terbaik Sukma Perak 2018 sahaja.
"Ia sekali gus merealisasikan impian saya selama ini untuk membawa ibu bapa ke tanah suci. Terima kasih kepada kerajaan negeri, jurulatih, pengurusan Persatuan Lumba Basikal Terengganu dan rakan sepelatih yang telah banyak membantu," katanya selepas menerima ganjaran itu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu malam tadi.
Insentif terbabit disampaikan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. - K! ONLINE
No comments:
Post a Comment