Translate

Sunday, October 7, 2018

Separuh akhir pertama Piala Malaysia: TFC tewaskan JDT 1-0

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Terengganu Football Club I (TFC I) menewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebentar tadi.

Penyerang gantian, Abdul Malik Mat Ariff muncul watak penting pada aksi ini apabila meledak gol penting buat TFC I pada minit ke-79.

Dia yang menggantikan Mohd. Ashari Samsudin pada minit ke-60 bijak menolak masuk hantaran lintang kapten pasukan, Tchetche Kipre lalu menewaskan penjaga gol JDT, Mohd. Farizal Marlias.

TFC I berbekalkan kelebihan satu gol itu akan bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin untuk menghadapi JDT pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia pada 20 Oktober depan.

Terdahulu, tuan rumah yang beraksi di hadapan 10,800 penyokong tegar agak gugup sehingga membenarkan skuad Harimau Selatan menguasai perlawanan sehingga kemasukan pemain tengah, Mohd. Faiz Mohd. Nasir pada awal babak kedua.

JDT berpeluang untuk memecah kebuntuan menerusi percubaan berbahaya pemain tengah import, Ignacio Insa dan penyerang, Muhamad Safawi Rasid yang berjaya ditepis keluar penjaga gol TFC I, Mohd. Suffian Rahman pada minit ke-7 dan 42.

Sementara itu, tiang gol menjadi penghalang rembatan seorang lagi pemain import JDT, Gonzalo Cabrera pada minit ke-37 walaupun Mohd. Suffian sudah tertewas.


Peluang terbaik TFC I untuk memperolehi gol awal pula hadir pada minit ke-32 namun percubaan penyerang, Abdul Latiff Suhaimi dari luar kotak penalti tepat ke pangkuan Mohd. Farizal. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment