Translate

Thursday, October 25, 2018

PBSNT agih tiket final 
ke daerah-daerah

SEBAHAGIAN penyokong Te­rengganu Football Club I (TFC I) tidak perlu ke Kuala Terengganu untuk merebut tiket final Piala Malaysia apabila Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) bersetuju untuk mengagih­kan sebahagian penjualannya pada peringkat daerah esok.

Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pengagihan penjualan tiket final Piala Malaysia melibatkan TFC I dan Perak di tujuh daerah di negeri tersebut selain Kuala Terengganu melibatkan sebahagian daripada 30,000 tiket yang diperuntukkan untuk skuad Penyu.

“Keputusan ini dibuat selepas PBSNT mengambil cakna permintaan penyokong-penyokong TFC I yang menetap di luar Kuala Terengganu seperti Kemaman dan Besut bagi memudahkan proses pembelian tiket final Piala Malaysia.

“Tiket-tiket final berharga RM50 bagi dewasa dan RM10 untuk kanak-kanak akan dijual menerusi persatuan bola sepak daerah (PBSD) masing-masing. Kita menyerahkan kepada PBSD terbabit tentang cara dan lokasi penjualannya,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusi mesyuarat PBSNT di Wisma Amar, Kuala Terengganu semalam.
Hishamuddin berkata, PBSNT juga bersetuju untuk mengagih­kan kira-kira 10,000 tiket final Piala Malaysia membabitkan TFC I dan Perak itu kepada semua kelab-kelab penyokong TFC I.

Tambahnya, ia bertujuan sebagai menghargai sokongan padu yang te­lah diberikan ahli kelab-kelab penyokong terbabit sejak awal musim Liga Malaysia ini.

“Baki tiket final boleh didapati di kaunter C, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu dari pukul 10 pagi hingga 2 petang, Khamis ini (esok).
“Jika masih berbaki, kaunter tiket stadium berkenaan akan dibuka semula pada keesokannya. Begitupun, saya yakin ia (tiket final) akan habis dijual sepenuhnya pada hari Khamis,” katanya.

Kejayaan TFC I yang dibimbing ketua jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim mara ke final Piala Malaysia dalam tempoh tujuh tahun telah mencipta keghairahan lebih sejuta rakyat Terengganu.

Skuad Penyu mara ke pentas final Piala Malaysia selepas me­nyingkirkan juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan agregat 3-2 pada peringkat separuh akhir.

No comments:

Post a Comment