Translate

Wednesday, October 3, 2018

The Fighters akur perjuangan buru Piala Malaysia terhenti

SKUAD Felda United akur impian untuk melangkah jauh pada saingan Piala Malaysia musim ini musnah selepas ditewaskan 4-6 secara agregat oleh Terengganu Football Club I (TFC I) pada aksi suku akhir di Kuala Terengganu kelmarin.

Jurulatih Felda United, B. Sathianathan berkata, anak-anak buahnya telah berhempas-pulas menyaingi TFC I sehingga hampir mengejutkan pasukan dari Pantai Timur berkenaan.

“Kita datang ke Kuala Terengganu defisit 1-2 (suku akhir pertama). Hampir menang malam ini (kelmarin) selepas dua kali kita mendahului sebelum tewas 3-4.

“TFC I bijak memanfaatkan kekurangan kita dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan menyebabkan kelebihan gol yang diperoleh gagal dipertahankan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Sathianathan berkata, apa pun beliau tetap memuji kesungguhan para pemain sehingga mampu mencabar pasukan yang mantap seperti TFC I.

Tambahnya, skuad The Figh­ters beraksi agak tempang tanpa beberapa pemain utama seperti Wan Zack Haikal Wan Noor dan Thiago Fernandes yang ditimpa kecederaan.

“Saya juga terpaksa mengeluarkan beberapa pemain se­perti Muhammad Danial Amier Norhisham kerana baru sembuh dari kecederaan dan tidak dapat bermain penuh 90 minit.

“Apa pun kami telah mencapai sasaran menjuarai Liga Premier 2018 dan bersedia untuk menjadi salah satu pasukan yang mampu memberi cabaran se­ngit dalam saingan Liga Super musim depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment