Translate

Tuesday, October 9, 2018

Tiga pelajar cedera parah van dirempuh pacuan empat roda

KUALA NERUS – Perjalanan 12 pelajar ke sebuah sekolah menengah di Kuala Terengganu terbantut apabila van sekolah yang mereka naiki terbalik selepas dirempuh dari belakang oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Bukit Tunggal, Kampung Tebauk di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.15 pagi itu, tiga pelajar terbabit mengalami kecederaan parah manakala bakinya cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Terengganu, Superintendan Abd. Razak Hasan berkata, tiga pelajar yang mengalami kecederaan parah di beberapa anggota badan ialah Tan Jun Leong, 15, Ng Jing Haw, 16, dan Cheng Siew Ting.

Menurut beliau, pemandu van sekolah tersebut iaitu Liom Khing Jong, 55, turut mengalami patah bahu kiri.

“Sewaktu kejadian, van sekolah tersebut dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Chung Hwa Wei Sin yang terletak di Jalan Bukit Kecil, Kuala Terengganu. Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu tiba-tiba dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kenderaan Toyota Hilux menyebabkan van itu terbalik beberapa kali sebelum kereta itu merempuh pula bahagian hadapan sebuah rumah kedai di lokasi kejadian,” kata beliau  kepada Kos­mo! semalam.

Kata Abd. Razak, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu yang bergegas ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira lima minit untuk mengeluarkan kesemua mang­sa yang terperangkap di dalam van sekolah itu.

Beliau memberitahu, empat mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk menerima rawatan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Katanya, siasatan mendapati kende­raan pacuan empat roda terbabit terbabas selepas cuba mengelak sebuah kereta lain yang secara tiba-tiba memasuki laluan berkenaan.

No comments:

Post a Comment