Oleh MOHD. AZLI ADLAN
HULU TERENGGANU – Flora Niaga Sdn. Bhd. (Flora Niaga) bercadang untuk meneroka projek penanaman durian Musang King dan nanas berskala besar secara komersial di tanah seluas 162 hektar di Padang Kubu, Kemaman.
Pengerusinya, Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor berkata, fasa pertama projek yang bakal bermula pada awal tahun depan itu akan melibatkan tanah seluas 12.15 hektar dan 20.25 hektar masing-masing bagi ladang durian Musang King dan nanas sebelum diperluaskan pada fasa seterusnya.
Menurut beliau, projek ladang tersebut akan menggunakan teknologi pertanian moden yang hanya memerlukan seorang pekerja bagi setiap 4.05 hektar.
“Sementara menunggu hasil dituai daripada projek tanaman baharu ini, syarikat akan terlibat dalam penanaman tembikai dan labu di Kampung Getang di sini.
“Projek ladang tembikai dan labu yang sudah bermula sejak tahun lalu itu kini sudah menunjukkan hasil yang akan dipasarkan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi penuaian tembikai dan labu di ladang Kampung Getang di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi FAMA Corporation Sdn. Bhd., Zainal Abidin Yang Razalli dan Pengarah FAMA Terengganu, Fauzi Mohamed.
Sementara itu, Fauzi menjelaskan, Flora Niaga merupakan satu-satunya syarikat di Terengganu yang menandatangani perjanjian ladang kontrak bagi penjualan hasil tanaman mereka dengan FAMA di negeri ini.
“Berdasarkan perjanjian terbabit, FAMA akan membeli tembikai keluaran ladang Flora Niaga ini dan dihantar terus di pusat pengumpulan di Pasar Borong Selayang, Selangor sebelum dipasarkan ke seluruh negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment