Translate

Monday, October 15, 2018

Empat kakitangan Jabatan Perhutanan Terengganu disyaki terlibat rasuah ditahan SPRM

MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Seramai empat kakitangan dan bekas kakitangan Jabatan Perhutanan Terengganu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah.

Sumber SPRM memberitahu, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 46 hingga 57 tahun tersebut ditahan selepas hadir untuk memberi keterangan di Pejabat SPRM Terengganu di sini pada pukul 3 petang.

"Mereka ditahan bagi membantu siasatan meminta rasuah daripada kontraktor balak yang dipercayai dilakukan pada beberapa tahun lalu.

"Siasatan awal mengesyaki perbuatan itu dilakukan kesemua suspek sewaktu mereka bertugas di sebuah pejabat hutan daerah di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sumber SPRM itu berkata, sebahagian daripada suspek yang ditahan itu juga sudah tidak berkhidmat dengan Jabatan Perhutanan negeri.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.


"Kita tidak menolak kemungkinan untuk memohon perintah reman terhadap keempat-empat suspek pada masa terdekat bagi membantu siasatan kes tersebut," katanya. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment