Translate

Friday, October 5, 2018

Azmin serah JPP siasat dakwaan Rafizi

KUALA TERENGGANU – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menye­rahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung desakan pencabarnya, Rafizi Ramli agar keputusan pemilihan Pusat bagi Cabang PKR Labis dibatalkan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, beliau percaya JPP akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan yang adil dan sewajarnya terhadap aduan tersebut.

“Tidak ada mana-mana calon atau pihak yang boleh mencampuri urusan JPP. Biarlah mereka (JPP) menyiasat dan buat keputusan.

“Saya tidak pernah mendesak mana-mana pihak,” kata­nya selepas menghadiri program Pidato Malaysia Baru sempena Pemilihan PKR di Hotel Permai di sini kelmarin.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd. Akin dan Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Kosmo! semalam melaporkan Rafizi meminta keputusan pemilihan Pusat bagi Cabang PKR Labis dibatalkan kerana mendakwa terdapat campur tangan pengawas JPP bertugas yang mengundi bagi pihak ahli parti itu pada Ahad lalu.

Beliau yang mencabar Mohamed Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden PKR telah menghantar aduan rasmi berhubung dakwaan itu kepada Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din dan Pengerusi Jawatankuasa Aduan Pemilihan Pusat, Dr. Syed Husin Ali.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin mendahului undian bagi pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR di Johor dengan 4,512 undi berbanding Rafizi yang cuma memperoleh 3,968 undi setakat pukul 6 petang kelmarin.

No comments:

Post a Comment