Translate

Sunday, October 21, 2018

Kebangkitan membanggakan TFC II

KEJAYAAN merangkul Piala Cabaran pada edisi sulung penganjurannya menjadi penawar terbaik ke­pada Terengganu Football Club II (TFC II) yang sebelum ini ber­duka akibat terperosok ke sai­ngan Piala FAM musim depan.

Pengendali TFC II, Tengku Hazman Raja Hassan berkata, ke­upayaan anak-anak buahnya bangkit daripada skuad yang berada di tangga tercorot Liga Premier musim ini sehingga­ muncul juara Piala Cabaran merupakan pencapaian membanggakan.

Bagi bekas pemain tengah kebangsaan kelahiran Kelantan itu, Piala Cabaran mempunyai prestijnya tersendiri walaupun tidak boleh dibandingkan de­ngan kemasyuran Piala Malaysia.

“Sewaktu mengambil alih (ketua jurulatih) TFC II (daripada Mustaffa Kamal Abd. Wahab), kesemua pemain berada dalam moral yang sangat rendah akibat tersingkir ke Piala FAM sedangkan saya cuma ada empat hari untuk menyiapkan pasukan ke saingan Piala Cabaran.

“Pendekatan terawal saya ialah membangkitkan semula motivasi mereka dan memberi peluang kepada semua pemain untuk me­rebut semula kesebelasan utama. Alhamdulillah pe­luang kedua itu dimanfaatkan dengan menewaskan satu demi satu pasukan lawan sehingga muncul johan sulung Piala Cabaran,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Pada aksi final kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, TFC II menang bergaya 2-0, sekali gus mengatasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) dengan agregat 4-2.
Kejayaan menjulang Piala Cabaran membolehkan TFC II meraih ganjaran wang tunai RM250,000, manakala UKM FC sebagai naib juara pula mene­rima RM75,000.

Penyerang import sensasi TFC II, Akanni Sunday Wasiu muncul wira apabila meledak kedua-dua gol pasukan dari Pantai Timur itu pada minit ke-22 dan ke-53.

Tengku Hazman berkata, ­Andrew Anderson Jean-Baptiste juga layak diberi pujian kerana memainkan peranan penting pada aksi tersebut ke­rana kedua-dua jaringan disumbang Sunday Wasiu merupakan hantaran pemain tengah import warga Haiti itu.

Piala Cabaran diperkenalkan buat julung kali oleh Malaysia Football League (MFL) bertujuan memastikan pasukan-pasukan yang gagal layak ke saingan Piala Malaysia dapat mengharungi perlawanan kompetitif sehingga penghujung musim ini.

No comments:

Post a Comment