PENJAGA gol berpengalaman Terengganu Football Club I (TFC I), Mohd. Suffian Rahman berjanji akan meneruskan persembahan mantap pada aksi final Piala Malaysia menentang Perak malam ini bagi membalas kepercayaan pengendali, Irfan Bakti Abu Salim.
Pemain berusia 40 tahun itu berkata, dia secara peribadi terhutang budi kepada Irfan yang masih memberi keyakinan kepadanya untuk menjadi penjaga gawang utama skuad Penyu biarpun sudah di penghujung karier.
“Aksi dengan Perak di Shah Alam esok (malam ini) merupakan pentas final Piala Malaysia ketiga saya selepas mewakili Negeri Sembilan dan Selangor sebelum ini.
“Insya-Allah saya akan menggunakan pengalaman tersebut untuk memastikan gawang TFC I terus kebal daripada dibolosi rangkaian serangan Perak pada final nanti,” katanya kepada Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Mengulas rahsia kecergasan untuk beraksi 90 minit dalam perlawanan kompetitif walaupun berusia 40 tahun, Suffian menjelaskan, dia sangat berdisiplin mengikut pelan latihan disediakan jurulatih selain menjaga kualiti tidur.
“Saya masih belum berniat untuk menggantung but (bersara) dan mahu terus beraksi musim depan jika diberi peluang.
“Apa pun saya berharap dapat menjulang Piala Malaysia esok (malam ini) bersama TFC I untuk dijadikan kenangan terindah dalam karier,” ujarnya.
Suffian yang berasal dari Melaka berkata, tiga pemain import Perak iaitu Gilmar Da Silva, Leondro Dos Santos dan Wander Luiz perlu dikawal ketat kerana dijangka menjadi sandaran skuad The Bos Gaurus untuk merobek gawang TFC I.
Pemain yang mempunyai ketinggian 1.76 meter itu juga menjangkakan aksi final tersebut akan berlangsung sengit berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan sebelum ini.
“Siapa yang lebih fokus dan dapat menjaringkan gol awal, pasukan itu berpeluang menjuarai Piala Malaysia,” katanya.
No comments:
Post a Comment