Translate

Monday, October 29, 2018

Had umur kahwin minimum 18 tahun

JOHOR BAHRU – Had umur perkahwinan di Johor ditetapkan minimum 18 tahun bagi lelaki dan perempuan beragama Islam dan bukan Islam seperti di­selaraskan peringkat Pusat.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian berkata, sebelum ini usia perkahwinan di negeri ini dibenarkan minimum 18 tahun untuk lelaki manakala 16 tahun untuk perempuan.

Menurutnya, bagaimanapun, perkahwinan di bawah 18 tahun masih boleh diberi kelonggaran untuk dilakukan dengan mengikut alasan munasabah selain perlu mendapat kelulusan menteri besar.

“Had umur minimum 18 tahun tersebut juga sudah dibincangkan dengan Peguam Negara,” katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perdana Belia Negara 2018 peringkat Johor di sini semalam.

Di Kuala Terengganu, had umur perkahwinan bagi pasangan Islam di Terengganu kekal pada usia 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu, Mohd. Nor Hamzah berkata, setakat ini tiada keperluan untuk menye­mak semula peraturan itu.

“Mana-mana orang Islam baik lelaki dan perempuan yang hendak melangsungkan perkahwinan di bawah umur perlu mendapat kebenaran bertulis daripada hakim mahkamah syariah.

“Peraturan had umur perkahwinan sedia ada di Terengganu dilihat sudah ideal dengan memberi sedikit kelonggaran kepada individu bawah umur jika mempunyai alasan kukuh dan dibenarkan syarak,” katanya.

Mohd. Nor percaya hakim syariah terlibat sudah pasti melakukan penilaian seba­iknya sebelum memberi kebenaran bertulis berhubung sebarang pernikahan bawah umur.

“Bagi beberapa kes, perkahwinan bawah umur perlu dipermudahkan bagi mengelakkan penzinaan dan seks bebas yang memberi impak negatif lebih buruk,” ujarnya.

Setakat ini, Selangor telah menaikkan had umur minimum untuk wanita Islam dan pasangannya bernikah pada usia 18 tahun dan Pulau Pinang juga dijangka mengikutinya dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment