Translate

Thursday, October 18, 2018

Anak Melayu kebanggaan negara

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Wan Nor Marudah Wan Yusof, 21, (gambar kecil) melakar sejarah tersendiri apabila mendapat tempat pertama ketika menduduki Laporan Kewangan (F7) Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

Pelajar Kolej Pendidikan Antarabangsa (Intec), Shah Alam, Se­langor itu memperoleh markah tertinggi iaitu 95 peratus dalam kertas ACCA terbabit yang diambil pada Disember tahun lalu.

Pencapaian Wan Nor Marudah yang berasal Kampung Tok Raja, Besut amat membanggakan kerana beliau merupakan anak Melayu pertama yang mencapai keputusan terbaik dalam kertas peperiksaan kelolaan badan akauntan bertauliah terkemuka dunia itu.

Kejayaan remaja itu turut membuktikan anak kampung berasal dari Pantai Timur itu mampu mengatasi puluhan ribu calon lain dari 179 negara yang turut mengambil kertas F7 pada sesi berkenaan.

“Saya tidak menganggap ia sebagai kejayaan peribadi semata-mata tetapi lebih sebagai pendorong dan medium untuk membuka lebih ruang kepada lebih ramai lagi remaja negara ini khususnya Melayu untuk memberanikan diri mengambil persijilan perakaunan profesional seperti ACCA sejurus tamat persekolahan.

“Hakikatnya pada masa ini, tidak ramai pelajar di Pantai Timur terutama Terengganu dan Kelantan mengambil persijilan perakaunan profesional seperti ACCA kerana kurang pendedahan dan stigma yang menganggapnya terlalu sukar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Wan Nor Marudah yang merupakan anak ketiga dari tujuh beradik juga mendedahkan beliau sendiri pada mulanya tidak mendapat galakan daripada ahli keluarga untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan.

Bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara Besut itu berkata, ahli keluarganya pernah menasihatkannya agar melupakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perakaunan ketika dirinya menyatakan hasrat tersebut sebaik mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Mereka pada mulanya tidak yakin dengan kemampuan saya untuk menguasai bidang perakaunan namun kerana minat mendalam, saya teruskan bagi membuktikan tiada yang mustahil jika kita fokus dan bersungguh-sungguh.

“Bermula dengan mengikuti asas perakaunan selama setahun setengah di Kolej Poly-Tech Mara Kuala Lumpur, saya semakin tekun belajar perakaunan apabila mendapat biasiswa Permodalan Nasional Berhad untuk melanjutkan pengajian di Kolej Intec dengan,” katanya.

Wan Nor Marudah berkata, di samping terus tekun untuk menghabiskan pengajiannya bagi menjadi akauntan bertauliah sepenuhnya, beliau juga mengambil inisiatif mengikuti beberapa program anjuran ACCA untuk berkongsi pengalaman dan tip pembelajaran dengan calon-calon lain di seluruh negara.

“Saya juga bersyukur jejak kejayaan saya diikuti seorang lagi anak Melayu berjaya memperolehi tempat pertama dalam kertas sama iaitu Ahmad Fauzee Mohd. Hassan, 20, dari Ketereh, Kelantan pada bulan Jun lalu,” katanya.

No comments:

Post a Comment