Translate

Monday, May 1, 2017

200 pemain tenis remaja berentap di Terengganu

SERAMAI 200 pemain tenis remaja dunia bakal berentap dalam Kejohanan Tenis Remaja Antarabangsa Gred 4 Terengganu Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) yang bakal berlangsung selama seminggu bermula 14 Mei depan.

Kejohanan anjuran Persatuan Tenis Terengganu (PTT) dengan kerjasama Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) itu akan diadakan di Kompleks Tenis Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Timbalan Presiden PTT, Hashim Ibrahim berkata, ramai jaguh tenis remaja handalan dunia telah mengesahkan penyertaan termasuk dari India, Jepun, Indonesia, Korea Selatan, Thailand, Singapura, Norway, Belgium, Hong Kong, New Zealand, Amerika Syarikat dan Australia.

“Cabaran negara akan disandarkan kepada Christian Didier Chin yang kini menduduki tangga ke-231 dunia.

“Sebelum ini, dia pernah muncul sebagai juara dalam kategori lelaki terbuka pada Kejohanan ITF Kuala Lumpur yang diadakan pada bulan lalu,” katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Mohd. Sabri Abas.

Hashim berkata, pemain kelahiran Sabah itu juga merupakan pemenang Sukan Malaysia 2016 di Kuching, Sarawak pada tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, pasangan adik-beradik, Uma Sara Nayar, 16, dan Sara Alisha, 15, turut dijangka mampu memberi saingan kepada jaguh tenis remaja dunia terutama India dan Korea Selatan yang mendominasi edisi terdahulu pada kejohanan kali ini.

“Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang dijangka disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada 21 Mei depan.

No comments:

Post a Comment