Translate

Friday, May 12, 2017

Tiket separuh akhir kedua Piala FA dijual Sabtu ini

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KEHANGATAN pertembungan antara Terengganu dan Kedah pada separuh akhir kedua Piala FA 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu mula terasa.

Penyokong tegar skuad Penyu boleh men­dapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan tersebut di kaunter tiket utama stadium berkenaan pada Sabtu ini.

Pegawai Media Persatuan Bola Sepak Nege­ri Terengganu (PBNT), Haslan Hashim berkata, sebanyak 10,000 tiket akan disediakan untuk peminat bola sepak tempatan bagi menghangatkan pertemuan separuh akhir kedua Piala FA itu nanti.

“Tiket bagi perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan Kedah boleh didapati di kaun­ter utama penjualan tiket Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah bermula pada pukul 10 pagi, 13 Mei ini.

“Harga tiket masih kekal iaitu RM20 bagi tempat duduk berbumbung, tempat duduk terbuka (RM10) dan kanak-kanak (RM5),” kata Haslan dalam satu kenyataan di Kuala Terengganu semalam.

Haslan berkata, bagi mengelakkan kegiatan ulat tiket, setiap peminat hanya dibenarkan untuk membeli maksimum tiga tiket pada hari berkenaan.

Menurutnya lagi, PBSNT berharap penyokong tegar skuad Penyu dapat turun beramai-ramai untuk memberi sorakan semangat kepada anak buah pengendali berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim itu bagi mencipta sejarah mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Terengganu pernah mara empat kali ke final Piala FA dan kali terakhir pasukan Pantai Timur tersebut menjulang piala ber­kenaan sewaktu dibimbing Irfan Bakti pada tahun 2011.

Pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Setar, 30 April lalu, Kedah memiliki kelebihan tipis selepas menundukkan skuad Penyu 1-0 hasil jaringan pemain sayap, Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-70.


No comments:

Post a Comment