Translate

Tuesday, May 9, 2017

Mehmet kecewa dengan prestasi Perak

PENGENDALI Perak, Mehmet Durakovic kecewa­ dengan prestasi anak-anak buahnya sehingga dihukum dengan kekalahan 0-3 kepada T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Beliau berkata, kesemua tiga gol yang membolosi gawang skuad The Bos Gaurus itu berpunca daripada kegagalan pemain-pemainnya membaca rentak permainan pasukan lawan.

“Pada separuh masa pertama, T-Team hanya berjaya me­lakukan satu percubaan tepat. Kita telah melakukan kesilapan yang membolehkan pasukan lawan menjaringkan gol.

“Kita ulangi dua kesilapan sama pada separuh masa kedua yang membenarkan pasukan lawan menghasilkan dua gol lagi,” kata Mehmet ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Mehmet berkata, kesilapan mudah yang dilakukan barisan pertahanannya telah ‘membunuh’ rentak permainan sepasukan, sekali gus menyukarkan skuad kendaliannya untuk kembali bangkit.

Beliau yang merupakan bekas pe­ngendali Selangor juga kesal kerana barisan pemainnya tidak mengambil pengajaran daripada pertemuan sulung kedua-dua pasukan di Stadium Perak, Ipoh pada 8 April lalu.

Pada perlawanan tersebut, mereka­ terperangkap dengan taktikal sera­ngan balas diterapkan T-Team dan malam kelmarin, ia berulang.

“Saya akui pemain-pemain saya telah bekerja keras untuk bangkit semula tetapi saya masih tidak puas hati sebab kita masih melakukan kesilapan mudah,” katanya.

No comments:

Post a Comment