Translate

Saturday, May 13, 2017

PSTNT anjur 
Liga Takraw Remaja

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PERSATUAN Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSTNT) akan menganjurkan Liga Sepak Takraw Remaja Sekolah Terengganu (LSRST) melibatkan pe­nyertaan 19 pasukan sekolah rendah dan menengah seluruh negeri tersebut bermula hari ini.

Presiden PSNT, Shapian Ali berkata, kejohanan yang bakal berlangsung selama lebih sebulan di Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT), Kuala Nerus itu bertujuan untuk mencungkil bakat baharu untuk diserapkan ke skuad pelapis negeri.

Beliau berkata, liga yang mendapat sokongan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Terengganu (MSST) tersebut merupakan program pembangunan sukan sepak takraw di peringkat akar umbi.

“Dua kategori dipertandingkan iaitu Regu Bawah 11 Tahun dan Berpasukan Bawah 14 dan 16 Tahun yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM5,000.

“Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang menganjurkan kejohanan secara khusus di peringkat sekolah selain pertandingan melibatkan semua negeri anjuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM),” kata Shapian.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan pelancaran LSRST yang disempurnakan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu di SSMT, Kuala Nerus, Terengganu kelmarin.

Shapian berkata, kejohanan yang julung kali diadakan itu melibatkan lapan pasukan, masing-masing dari sekolah rendah dan menengah yang mewakili setiap daerah di negeri Terengganu.

Menurut beliau, satu pasukan lagi yang bakal mengambil bahagian dalam kategori sekolah menengah ialah gabungan regu Projek Akademi Sepak Takraw Terengganu (Pasta), Sekolah Sukan Bukit Nenas, Setiu dan SSMT.

“Pemain-pemain berpotensi yang dikenalpasti menerusi LSRST ini akan diserapkan ke skuad pelapis Sukan Malaysia (Sukma) dan mereka berpeluang mewakili pasukan negeri pada Sukma 2020 yang akan diadakan di Johor nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment