Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dasar baharu tersebut menggariskan matlamat dan strategi penting pembangunan luar bandar menjelang tahun 2050.
“Pandangan, maklum balas dan harapan golongan belia dalam pelbagai medium termasuk Bicara Komuniti akan dijadikan panduan untuk pembentukan dasar tersebut.
“Memang menjadi harapan pihak kementerian untuk merangka satu dasar pembangunan luar bandar mengikut keperluan generasi muda yang akan memimpin negara menjelang tahun 2050,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Bicara Komuniti TN50@KKLW bersama 432 belia luar bandar.
Sesi bicara secara santai bersama golongan muda dari Lembaga Kemajuan Wilayah Terengganu Tengah dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan itu dikendalikan oleh moderator Zizan Razak dan Abu Talib Husin bersama dua ikon belia, Mira Filzah dan Ummi Nazeera.
Antara pandangan yang diutarakan ialah masyarakat luar bandar di negara ini menghendaki insfrastruktur setaraf dengan warga bandar tanpa mengenetepikan suasana dan nilai-nilai kedesaan.
Ismail Sabri berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan pandangan bernas yang telah dikemukakan oleh para peserta program bicara komuniti berkenaan.
Beliau memberitahu, kebanyakan hasrat golongan belia terbabit bertepatan dengan harapan kementeriannya menerusi agenda Transformasi Luar Bandar 2015.
“Kita mahu membandarkan luar bandar dengan tumpuan diberi kepada menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan perumahan di kawasan itu.
“Hasrat kita juga agar kawasan luar bandar menjadi pilihan bagi rakyat untuk menetap pada masa depan,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pihak kementerian juga mahu mengubah minda rakyat di negara ini terhadap pendidikan teknikal dan kemahiran yang masih dianggap sebagai kelas kedua.
“Persepsi itu perlu diubah kerana negara maju telah lama menjadikan pendidikan teknikal dan kemahiran sebagai teras negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment