Translate

Monday, May 1, 2017

Keldai dadah warga India diberkas di LTSM

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Taktik seorang lelaki warga India menyamar sebagai peniaga kain sari gagal mengaburi Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu selepas pemeriksaan menjumpai 10 kilogram serbuk disyaki dadah jenis ketamin di dalam bagasinya di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).
Suspek berusia 37 tahun yang dipercayai keldai dadah itu diberkas sebaik menuntut bagasi tersebut yang mengandungi dadah dianggarkan bernilai RM700,000 pada pukul 8.55 pagi.
Pengarah Kastam Terengganu, Aidid Tajuddin berkata, lelaki warga India terbabit yang menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Bengaluru, India telah tiba di LTSM pada pukul 7 malam Jumaat lalu.
"Sebelum itu, suspek transit sebentar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, dia sengaja meminta bagasinya dihantar ke LTSM lewat sehari.
"Lelaki India itu tidur di dalam surau LTSM semalaman sebelum menuntut bagasinya pada pagi semalam," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment