Translate

Monday, May 8, 2017

Jangan pandang mudah kemampuan T-Team

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

JANGAN pandang mudah kemampuan T-Team.

Jika tidak diawasi, pasukan lawan akan menerima padah.

Itu yang berlaku di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin yang menyaksikan skuad kendalian Rahmad Darmawan itu tampil de­ngan corak permainan luar biasa untuk menewaskan Pe­rak 3-0 pada kempen Liga Super.

Tindakan Football Malaysia Limi­ted Liability Partnership (FMLLP) yang memotong enam mata daripada skuad Pantai Timur itu ternyata tidak menjejaskan rentak permainan­ mereka, malah tampil lebih gagah dan garang.

Jentera serangan mereka juga semakin menyengat yang dianggap sebagai kunci kemenangan bergaya ke atas Perak malam kelmarin.

Mereka juga bertahan dengan baik sehingga menyukarkan barisan serangan Perak untuk meloloskan diri.

Menurut Rahmad, rangkaian penyerang Perak nampak sukar untuk merobek kubu pasukannya yang dikemudi ketua pasukan, Mohd. Hasbullah Awang.

“Mereka (Perak) bagaikan hilang idea untuk menggempur kubu kami sehinggakan terpaksa melakukan beberapa percubaan dari jarak jauh dan ia terbukti tidak berkesan.

“Disiplin yang dipamerkan barisan pertahanan juga telah memaksa­ pemain pasukan lawan keluar daripada formasi asal mereka, sekali gus terperangkap dengan serangan balas pantas yang kita lancarkan,” kata Rahmad ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Rahmad berkata, taktikal sera­ngan balas itu terbukti berjaya dan mereka telah menghasilkan dua gol menerusi gerakan tersebut.

Pengendali berpengalaman dari Indonesia itu turut memuji kecekapan penjaga gol, Mohd. Hafidz Romly­ yang berjaya mempertahankan gawang pasukan ber­status kelab tersebut daripada dibolosi dalam tiga perlawanan berturut-turut setakat ini.

Sehubungan itu, beliau berharap momentum cemerlang yang dipamerkan para pemain dapat dikekalkan pada perlawanan-perlawanan lain selepas ini.
Pada perlawanan malam kelmarin, T-Team yang dikenali sebagai The Titans memperoleh gol pertama menerusi penyerang import, Mahamadou­ Samassa pada minit kelapan.

Pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris menambah gol kedua pada minit ke-71.

Selang empat minit kemudian, penjaga gol skuad The Bos Gaurus, Muhammad Hafizul Hakim tewas buat kali ketiga menerusi sepakan kencang penyerang kelahiran Uzbekistan, Farhod Tadjiev.

No comments:

Post a Comment