KUALA TERENGGANU – AirAsia Bhd. (AirAsia) melancarkan laluan baharu dari Kuala Terengganu ke Johor Bahru bermula 22 Jun ini.
Ahli Lembaga Pengarah AirAsia, Datuk Aziz Bakar berkata, buat permulaan, perkhidmatan tersebut akan menawarkan kekerapan tiga penerbangan seminggu.
“Jabatan Penerbangan Awam telah meluluskan jadual penerbangan kedua-dua hala antara Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum perjanjian persefahaman dengan kerajaan negeri Terengganu yang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd. Rahman.
Aziz menjelaskan, AirAsia juga akan mengambil inisiatif menyediakan kemudahan bas ulang-alik dari LTAS ke Singapura bagi menarik pelancong dari negara jiran tersebut menggunakan perkhidmatan penerbangan Johor Bahru-Kuala Terengganu berkenaan.
“Kemudahan bas ulang-alik itu juga disasarkan kepada pelancong China yang transit di Singapura. Berdasarkan maklum balas, pengunjung dari negara tersebut gemar bercuti di pulau peranginan di negeri ini seperti Pulau Perhentian serta Pulau Redang dan pengenalan laluan baharu ini memudahkan akses mereka ke Terengganu,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment