Translate

Tuesday, May 2, 2017

Institusi JKKK, JKKKP diperkasa

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA NERUS – Institusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Ke­selamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) terus diperkasa dengan pelancaran buku panduan Tatacara Pengurusan JKKK dan JKKKP Versi Dua semalam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, buku tatacara baharu tersebut adalah bagi menggantikan buku versi lama yang telah diterbitkan pada tahun 2014.
“Tatacara berkenaan diguna pakai kepada lebih 16,500 JKKK serta JKKKP di seluruh negara.

“Tumpuan telah diberikan untuk memantapkan meka­nisme kawal selia institusi ter­babit selaras dengan perkembangan semasa yang telah diberi penekanan dalam agenda Transformasi Luar Bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Program Sijil Tadbir Urus Desa Zon Timur di sini semalam.

Dalam majlis sama, seramai 700 kepimpinan JKKK dan JKKKP dari Terengganu, Pahang dan Kelantan menyertai Program Sijil Tadbir Urus Desa Zon Timur kendalian Institut Kemajuan Desa (INFRA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Turut hadir Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Borhan Dollah.

Ismail Sabri berkata, antara yang terdapat dalam buku tatacara berkenaan ialah kriteria penubuhan JKKK dan JKKKP, kaedah pembayaran elaun kepada pengerusi dan setiausaha serta elaun mesyuarat, penyediaan­ surat aku janji dan laporan prestasi aktiviti.

Beliau berkata, sistem penyampaian JKKK dan JKKKP juga akan dipermudahkan dengan pembangunan sistem secara atas talian, e-tadbir urus desa.

“Sistem terbabit yang antaranya mengandungi e-tadbir urus desa dan e-prestasi dijangka beroperasi pada Ogos depan.
“Ia akan memudahkan urus tadbir JKKK dan JKKKP seperti penyediaan serta pe­nyampaian laporan dan minit mesyuarat tidak lagi berbentuk konvensional tetapi dikemukakan lebih tersusun dan pantas menerusi atas talian,” katanya.

Ismail Sabri berkata, sistem e-tadbir urus desa juga bakal mempercepatkan pembayaran elaun-elaun seperti elaun kehadiran mesyuarat yang boleh dilunaskan dalam tempoh selewat-lewatnya seminggu.

Buku panduan Tatacara Pe­ngurusan JKKK dan JKKKP Versi Dua itu yang mengandungi 18 perkara dan 37 halaman boleh dicapai menerusi pautan www.rurallink.gov.my.

No comments:

Post a Comment