Translate

Tuesday, May 16, 2017

Strategi Helang Merah membuahkan hasil

STRATEGI skuad Kedah me­rehatkan ramai pemain utama pada aksi Liga Super menentang PKNS FC, Selasa lalu membuahkan hasil apabila mereka tampil gagah menumbangkan Terengganu malam kelmarin.

Pada aksi separuh akhir ke­dua Piala FA 2017 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu, skuad Helang Merah mudah membenam Terengganu 3-0, sekali gus melangkah bergaya ke pentas akhir dengan agregat 4-0.

Pengendali sementara Kedah, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff berkata, perancangannya merehatkan enam pemain termasuk Liridon Krasniqi dan Rizal Ghazali pada aksi menentang PKNS sebelum ini telah membolehkan kesemua pemain berada dalam keadaan cergas sehingga mampu mempamerkan prestasi cemerlang pada pertembungan dengan skuad Penyu malam kelmarin.

“Alhamdulillah semua pemain terutama mereka yang direhatkan sebelum ini telah memberikan persembahan menakjubkan bagi membolehkan kita melangkah sekali lagi ke pentas final.

“Kita tidak sangka boleh menang 3-0. Tahniah kepada pemain-pemain saya yang telah memberikan komitmen penuh bagi mencapai kejayaan ini,” kata Nidzam ketika ditemui selepas perlawanan tersebut.

Nidzam berkata, kekebalan benteng pertahanan Kedah walaupun tanpa pemain import, Zachary Micheal Anderson yang masih mengalami kecederaan, menjadi faktor utama kemena­ngan bergaya pasukannya.

Menurutnya, barisan pertahanan yang dikemudi kapten pasukan, Khairul Helmi Johari telah bertindak cemerlang menyekat setiap serangan skuad Penyu yang diketuai Issey Farran Nakajima.

“Kami memang sudah menjangka Terengganu akan menggunakan taktikal hantaran jauh bagi menggempur kubu kami.

“Saya gembira kerana barisan pertahanan sangat berdisiplin, kurang melakukan kesilapan dan mengikut apa yang telah saya terapkan dalam latihan sebelum ini,” katanya.

Nidzam berkata, beliau juga bertekad untuk membantu Kedah menjulang Piala FA pada aksi final dengan Pahang, Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment