Translate

Thursday, May 4, 2017

T-Team tiada berhutang 
dengan pemain

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN berstatus kelab, T-Team telah mengemukakan rayuan kepada Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) berhubung pemotongan 6 mata ekoran mengingkari arahan pengendali Liga Malaysia (Liga M) tersebut yang berkuat kuasa kelmarin.

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Aidi Naim Mohamad Samsani berkata, walaupun mengakui mempunyai masalah dengan pembayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pemain dan pegawai pasukan sebelum ini, namun kesemua tunggakan itu telah dilunaskan baru-baru ini.

“Kami hanya menerima surat pengesahan (pembayaran tunggakan) daripada KWSP dan LHDN masing-masing pada 27 dan 30 April lalu yang menyebabkan proses mengemaskini Sistem Pengurusan Maklumat Bola Sepak (SPMB) yang sepatutnya dilakukan sebelum 31 Mac lalu telah terlewat.

“Begitu pun, kami telah memaklumkan perkara ini kepada FMLLP awal-awal lagi sebelum tarikh akhir berkenaan,” kata Aidi Naim dalam satu ke­nyataan di Kuala Terengganu semalam.

Aidi Naim menegaskan, skuad T-Team yang sebelum ini menduduki tangga ketujuh Liga Super tidak pernah berdepan sebarang masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Sehubungan itu, pengurusan T-Team telah mengemukakan surat rayuan berserta salinan surat pengesahan daripada LHDN dan KWSP kepada FMLLP kelmarin.

“Isu kelewatan pembayaran KWSP, Perkeso dan LHDN telah diselesaikan dan kami berjanji perkara sama tidak akan berulang pada masa akan datang.
“Oleh itu, kami memohon pertimbangan sewajarnya daripada FMLLP berhubung tindakan pemotongan mata berkenaan. T-Team terbukti telah berusaha menyelesaikan isu berbangkit mengikut garis panduan yang telah diberikan,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam mengesahkan empat pasukan iaitu T-Team, Kelantan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Perlis telah dikenakan pemotongan 6 mata berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, tindakan tersebut diambil mengikut Perkara 43, Peraturan Pertandingan, Manual Liga M 2017 tersebut gara-gara kesemua pasukan yang kini bermain di Liga Super dan Liga Premier terbabit gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan ingkar arahan yang dikeluarkan pihaknya.

No comments:

Post a Comment