Translate

Sunday, April 30, 2017

Terengganu bertandang ke Alor Setar tanpa tekanan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

TERENGGANU yang bertandang ke Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk menentang Kedah pada aksi separuh akhir pertama Piala FA malam ini selesa dilabel sebagai pasukan 'underdog' kerana turun tanpa sebarang tekanan.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, sebagai pasukan yang bermain di Liga Premier, mara ke peringkat separuh akhir piala tersebut setelah menewaskan beberapa lawan daripada Liga Super merupakan pencapaian yang membanggakan.

"Saya tidak mahu anak buah saya berasa tertekan sehingga melakukan kesilapan yang memberi boleh peluang kepada pasukan lawan menjaringkan gol.

"Begitu pun, ia tidak bermakna kami akan menyerah awal kerana motivasi pemain kini berada pada tahap tertinggi dan mereka sudah pasti tidak akan mensia-siakan peluang untuk mara ke perlawanan akhir," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Irfan berkata, beliau telah mengatur taktikal dan strategi terbaik untuk mendapat bekalan ampuh bagi dibawa pulang sebelum kedua-dua bakal berentap semula pada aksi timbal balik yang bakal berlangsung di laman sendiri pada 13 Mei depan.

Menurut beliau, biar pun prestasi skuad Helang Merah seakan-akan tidak konsisten sejak akhir-akhir ini, anak buahnya tidak boleh memandang mudah kerana Kedah tetap merupakan sebuah pasukan yang mempunyai reputasi gah.

"Tiada jalan lain untuk kita membuat kejutan di Alor Setar selain pemain-pemain saya fokus dan melaksanakan semua strategi dengan baik ketika di atas padang.

"Saya juga berharap barisan serangan yang dibarisi Issey Farran Nakajima, Federico Falcone dan Mohd. Ferris Danial Mat Nasir dapat melaksanakan tugas dengan baik untuk merobek gawang Kedah," katanya.

Selain Nakajima yang merupakan penjaring terbanyak pasukan, Falcone dan Mohd. Ferris semakin menunjukkan ketajaman mereka apabila masing-masing menjaringkan gol penting sewaktu menewaskan Johor Darul Ta'zim II (JDTII) 2-1 pada aksi Liga Premier minggu lalu.

No comments:

Post a Comment