Oleh MOHD. AZLI ADLAN
PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) tidak perlu pening kepala mencari mengganti Tan Cheng Hoe kerana pengendali sementara, Mohd. Nidzam Adzha Yusoff dilihat mampu memikul tugas tersebut.
Kewibawaan jurulatih berusia 49 tahun itu mula terserlah selepas berjaya mencapai misi skuad Helang Merah melangkah ke pentas akhir Piala FA 2017 pada 20 Mei ini selepas menumbangkan Terengganu menerusi agregat 4-0 pada peringkat separuh akhir.
Nidzam berkata, beliau sedia menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih Kedah sekiranya mendapat kepercayaan daripada KFA.
“Setakat ini saya diamanahkan untuk memangku tugas sahaja dan terpulang kepada pihak pengurusan (KFA) untuk menilai dan menentukan masa depan saya.
“Saya tidak menjangkakan (ditawarkan jawatan sebagai ketua jurulatih) tetapi sekiranya diberi kepercayaan, saya akan sahut cabaran itu,” kata Nidzam ketika ditemui selepas aksi separuh akhir kedua menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.
Nidzam berkata, beliau sedar sebagai salah sebuah pasukan elit dalam Liga Malaysia, KFA sudah pastinya mahu memilih jurulatih yang mempunyai nama besar dan berprofil tinggi.
Sehubungan itu, bekas pembantu jurulatih Cheng Hoe tersebut menegaskan, beliau tidak terlalu memikirkannya kerana mahu memberi tumpuan penuh membimbing Kedah mengekalkan reputasi yang dimiliki pada masa ini.
“Fokus utama saya adalah untuk menjulang Piala FA pada 20 Mei nanti, sekali gus membawa pulang piala itu yang kali terakhir kami menangi pada tahun 2008,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, KFA tidak menolak kemungkinan menaikkan pangkat Nidzam sebagai ketua jurulatih selepas persatuan itu menerima peletakan jawatan Cheng Hoe baru-baru ini.
Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, keputusan tersebut bakal diambil sekiranya Nidzam dapat membuktikan kemampuannya dalam beberapa perlawanan selepas ini termasuk aksi separuh akhir kedua kempen Piala FA menentang Terengganu.
No comments:
Post a Comment