Translate

Saturday, May 6, 2017

Ahmad Shabery, Abdul Hadi lepaskan tukun tiruan

MARANG – Projek melepaskan tukun tiruan di perairan Pulau Kapas dekat sini semalam mencipta sejarah tersendiri apabila dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut Ahmad Shabery, penyertaan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang pada program berimpak tinggi untuk kepentingan nelayan itu telah mendapat restu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Acara (melepaskan tukun tiruan) ini bukan sahaja simbolik untuk nelayan tetapi me­nunjukkan proses politik matang yang meletakkan kepentingan negara dan rakyat mengatasi segala-segalanya,” kata beliau pada sidang akhbar di Pulau Kapas dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan struktur pelantar minyak terpakai milik Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) yang telah dileraikan untuk dijadikan tukun tiruan bersama Abdul Hadi di perairan Pulau Kapas.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Terengganu, Datuk Muhammad Pehimi Yusoff, Ketua UMNO Bahagian Marang, A. Latiff Awang dan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata,­ beliau menghargai usaha kerajaan Persekutuan yang memberi peluang kepadanya untuk menyertai program anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau berkata, Pas tidak menolak kemungkinan untuk menyertai program rasmi kerajaan lain sekiranya dijemput pada masa akan datang kerana ia melambangkan konsep politik matang yang diterapkan dalam partinya.

No comments:

Post a Comment