Translate

Friday, May 5, 2017

Pelajar politeknik korban terbaharu

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

HULU TERENGGANU –  Tidak sampai dua bulan dibuka semula kepada pengunjung, kawasan air terjun Belukar Bukit kembali ‘meragut nyawa’ semalam.

Pelajar Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Bahru, Mohd. Hakim Ferdhaus Abdul Raki, 21, ditemui mati lemas sewaktu sedang asyik mandi-manda bersama dua rakannya pada pukul 3 petang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd. Adli Mat Daud berkata,  mangsa yang menetap di Kampung Banggol Tasek, Bukit Payung, Marang telah berkelah dengan rakan-rakan sekampusnya di kawasan air terjun tersebut pada pukul 12.30 tengah hari.

“Sewaktu kejadian, mangsa sedang mandi bersendirian sementara rakan-rakannya lain yang sudah puas mandi-manda sedang berehat di tebing air terjun itu.

“Tiba-tiba mangsa dikatakan telah mengalami kekejangan kaki. Rakan-rakannya yang mendengar jeritannya meminta pertolongan telah cuba membantu tetapi gagal,” katanya di sini semalam.
Mohd. Adli berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang di sini telah tiba ke lokasi kejadian pada pukul 3.19 petang.

Menurut beliau, anggota skuba pasukan bomba itu kemudian menemui mayat Mohd. Hakimi Ferdhaus dalam kedalaman 6.1 meter dari permukaan air terjun itu kira-kira 10 minit kemudian.

“Mayat mangsa ditemui tersangkut pada dahan kayu kira-kira 3.05 meter dari dasar air terjun itu.

“Anggota bomba terlibat telah mengangkat mayat mangsa ke tebing air terjun sebelum menghantarnya ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk dibedah siasat,” katanya.

Kawasan air terjun Belukar Bukit telah ditutup kepada umum berikutan tragedi yang meragut lima sekeluarga pada 19 Disember 2015 sebelum kembali dibuka kepada umum pada Mac lalu.

Kosmo! 20 Disember 2015 melaporkan Imam Surau al-Furqan, Puncak Alam, Kuala Selangor,  Mohd. Halim Safian, 44, dan empat ahli keluarganya mati lemas ketika bercuti di kawasan perkelahan Air Terjun Belukar Bukit.

Isterinya, Nurul Adila @ Salwati Awang, 39, dan tiga anak mereka iaitu Nurul Arifah, 16; Nurul Aina, 11 serta Nurul Izah, 10, turut mati lemas  dalam tragedi pada pukul 11 pagi itu yang dipercayai  terperangkap akibat pusaran air.

No comments:

Post a Comment