Oleh MOHD. AZLI ADLAN
BERTANDANG ke gelanggang lawan tidak menjadi alasan buat Terengganu untuk terus memburu kemenangan dengan menjinakkan Sabah pada aksi Liga Premier di Stadium Likas, Kota Kinabalu hari ini.
Jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, momentum kemenangan perlu diteruskan bagi menghimpit Negeri Sembilan yang kini gah di persada liga.
“Kita tidak boleh tercicir mata yang boleh menyebabkan ketinggalan begitu jauh dengan Negeri Sembilan. Apatah lagi, kita juga hanya mendahului dua mata dengan PKNP (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak) yang berada di tangga ketiga.
“Memang sejak awal musim lagi, tumpuan utama diberikan kepada saingan Liga Premier dengan matlamat untuk layak ke Liga Super pada musim depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.
Irfan berkata, walaupun telah menewaskan Sabah 2-0 pada aksi pusingan pertama di laman sendiri pada 7 April lalu, ia bukan petanda anak-anak buahnya boleh memandang mudah cabaran skuad Badak tersebut.
Menurut bekas pengendali Felda United itu, beliau akan menurunkan kesebelasan terbaik untuk menghadapi Sabah bagi memastikan misi mengutip tiga mata penuh dapat tercapai.
“Saya mengarahkan para pemain beraksi dengan serius ketika menentang Sabah dan jangan pandang mudah kemampuan lawan yang bakal bermain dengan sokongan padu penyokong tegar mereka,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Irfan menegaskan, perlawanan tersebut merupakan antara peluang terakhir penyerang import, Federico Falcone untuk membuktikan kemampuannya seterusnya memikat pengurusan pasukan untuk terus kekal dengan skuad Penyu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan pemain kelahiran Argentina itu bakal ditunjukkan jalan keluar pada jendela perpindahan Liga Malaysia yang akan dibuka pada 15 Mei ini sekiranya gagal mempamerkan sentuhan penyudah yang baik.
“Dia (Falcone) ada menunjukkan peningkatan dalam latihan dan perlawanan sejak kebelakangan ini tetapi tidak cukup buat saya selagi masih tidak dapat menjadi lubuk gol buat pasukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment