Translate

Wednesday, May 17, 2017

Kastam Terengganu rampas 1.2 juta rokok seludup

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu berjaya mematahkan percubaan sindiket untuk menyeludup 1.2 juta batang rokok seludup bernilai RM864,960 di Kampung Petaling, Kuala Nerus semalam.
Dalam serbuan pada pukul 10 pagi itu, pemandu lori yang membawa 6,000 karton rokok jenama League berkenaan telah bertindak meninggalkan kenderaannya di tengah jalan untuk melarikan diri selepas lebih lima kilometer dikejar pasukan penguat kuasa KDRM Terengganu.
Pengarah Kastam Terengganu, Aidid Tajuddin berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kegiatan membawa masuk rokok seludup yang akan melalui negeri ini dari Thailand pada Jumaat lalu.
"Kemungkinan mengetahui sedang diburu, pemandu lori itu dipercayai bertindak bersembunyi di sempadan Kelantan-Terengganu selama tiga hari sebelum di kesan berada di daerah Kuala Nerus pada pagi semalam.
"Walaupun menukar modus operandi dengan bergerak pada waktu siang dan melalui Lebuh Raya Pantai Timur 2 namun ia gagal untuk mengaburi mata pasukan penguat kuasa KDRM," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan KDRM Terengganu di sini hari ini. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment