Translate

Saturday, May 13, 2017

Terengganu idam aksi final

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

ALANG-ALANG sudah melangkah ke separuh akhir, biar sampai ke pentas akhir.

Itu tekad barisan pemain Terengganu menjelang aksi separuh akhir kedua kempen Piala FA 2017 menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pasukan kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu tidak rela terlepas peluang untuk merealisasikan impian besar mereka itu, lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri.

Menurut Irfan, beliau mahu anak-anak buahnya memanfaatkan kesempatan bermain di hadapan penyokong sendiri untuk mengakhiri kemarau ke final Piala FA selepas kali terakhir melakukannya enam tahun lalu.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, pemain-pemainnya juga telah diingatkan agar beraksi bermati-matian untuk menempah tiket secara automatik ke pentas akhir.

“Kita sudah melupakan kekecewaan pada separuh akhir pertama di tempat lawan pada 30 April lalu. Malam esok (ini) adalah aksi yang berbeza dan kami harus melakukan yang terbaik.

“Apa-apa sahaja boleh berlaku dan saya percaya, bermain di tempat sendiri pada malam esok (ini) bakal memberi kelebihan kepada pasukan kami,” kata Irfan di Kuala Terengganu semalam.

Irfan berkata, kesemua barisan terbaik skuad Penyu bebas daripada kecederaan dan mereka boleh diturunkan pada pertembungan dengan Kedah itu kelak kecuali pemain pertahanan, Adib Aiuddin yang mengalami penggantungan akibat dilayangkan kad merah pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar, 30 April lalu.

Begitu pun, beliau sedar skuad Helang Merah tidak memandang ringan ancaman pasukannya apabila bertindak merehatkan ramai pemain utama pada aksi Liga Super menentang PKNS FC yang berakhir dengan keputusan seri 4-4, Selasa lalu.

“Apa pun, saya tidak kisah siapa yang Kedah bakal turunkan kerana anak-anak buah saya sudah bersedia sepenuhnya menghadapi perlawanan yang amat penting ini,” katanya.

Pada aksi separuh akhir pertama di Alor Setar tempoh hari, Kedah memiliki kelebihan tipis selepas menundukkan skuad Penyu 1-0 hasil jaringan pemain sayap, Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-70.

No comments:

Post a Comment