Translate

Monday, May 15, 2017

Terengganu akur kehebatan pasukan lawan


TERENGGANU akur dengan kehebatan Kedah yang terbukti lebih berhak mara ke pentas akhir Piala FA 2917, Sabtu ini.

Skuad Penyu terpaksa menelan hakikat dibelasah 3-0 oleh pasukan pelawat di hadapan 10,000 penyokong sendiri pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam kelmarin.

Kedah memusnahkan impian Terengganu untuk menamatkan kemarau enam tahun ke pentas akhir Pia­la FA dengan kelebihan agregat 4-0.

Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim berkata, Kedah sememangnya berhak memenangi perlawanan tersebut selepas menguasai setiap posisi terutama jentera tengah dalam tempoh 90 minit permainan.

“Pemain-pemain saya tidak dapat menandingi ketangkasan jentera tengah Kedah yang dibarisi Liridon Krasniqi, Sandro Da Silva, Baddrol Bakhtiar dan Mohd. Syazwan Zainon.

“Gol kedua Kedah pada minit ke-28 yang terhasil daripada kesilapan pemain saya, Abdul Shukur Jusoh juga telah membunuh sisa-sisa perjua­ngan kami,” kata Irfan ketika ditemui selepas perlawanan malam kelmarin.

Irfan berkata, walaupun mereka cuba mengubah taktikal selepas waktu rehat, peluang pasukan bimbingannya untuk bangkit mencipta kejutan tertutup rapat sebaik sahaja skuad Helang Merah menambah gol ketiga hanya selepas seminit wisel babak ke­dua ditiupkan.

Bekas pengendali Felda United itu berkata, kecederaan Federico Falcone pada saat-saat akhir juga telah menyebabkan skuadnya tiada penyerang berwibawa untuk diturunkan pada perlawanan tersebut.

“Saya terpaksa mengarahkan Issey Farran Nakajima, Lutfulla Turaev dan Ismail Faruqi Ashari menggalas tanggungjawab di barisan serangan.

“Bagaimanapun, sebagai pasukan yang beraksi di Liga Premier, saya tetap bangga dengan pencapaian anak-anak buah saya yang mampu mara hingga ke saingan separuh akhir Piala FA,” katanya.

No comments:

Post a Comment