Translate

Monday, May 15, 2017

Pemandu lori cuba rasuah polis RM50 dipenjara sehari, denda RM10,000

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU - Gara-gara cuba merasuah seorang anggota polis semata-mata mahu rakan warga Bangladesh daripada ditahan pihak berkuasa pada dua tahun lalu, seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz memerintahkan demikian selepas V. Nanthakumar, 35, dari Sungai Lembing, Kuantan, Pahang membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa cuba memberi suapan wang tunai RM50 kepada seorang anggota polis yang mahu menahan Md. Akkas Ali yang merupakan kelindan lori warga Bangladesh dalam sekatan jalan raya di Jambatan Sungai Limbong, Chukai, Kemaman pada pukul 5.35 petang, 27 Mac 2015.
Dia yang memandu lori membawa bahan binaan berkenaan didakwa cuba merasuah penjawat awam tersebut sebagai dorongan untuk melepaskan lelaki warga asing itu daripada ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi. - K! ONLINE

No comments:

Post a Comment