Translate

Sunday, May 14, 2017

Peniaga sari jadi keldai dadah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

KUALA TERENGGANU – Taktik seorang lelaki warga India menyamar sebagai peniaga kain sari gagal mengaburi Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu selepas pemeriksaan dalam bagasi dibawanya menemui 10 kilogram disyaki dadah jenis ketamin di Lapa­ngan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini kelmarin.

Lelaki berusia 37 tahun yang dipercayai keldai dadah itu diberkas pada pukul 8.55 pagi ketika menuntut bagasi tersebut. Pemeriksaan dadah yang dibawa suspek dianggarkan bernilai RM700,000.

Pengarah JKDM Terengganu, Aidid Tajuddin berkata, lelaki warga India terbabit yang menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Bengaluru, India tiba di LTSM pada pukul 7 malam Jumaat lalu.

“Sebelum itu, suspek transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Bagi mengaburi mata pihak berkuasa, dia sengaja meminta bagasi­nya dihantar ke LTSM lewat sehari daripada ketibaannya.

“Lelaki India itu tidur semalaman di surau LTSM sebelum menuntut bagasinya pada pagi semalam (kelmarin),” kata beliau pada sidang akhbar di Pejabat Penguatkuasaan JKDM  Kuala Terengganu di sini semalam.
Menurut beliau, anggota pe­nguat kuasa JKDM mengesyaki sesuatu tidak kena selepas mendapati hanya 29 pasang kain sari berkualiti rendah dibawa suspek dari negara asalnya sedangkan dia mendakwa mahu berniaga di negeri ini.

Menurut beliau, mesin pengimbas kemudian mengesan kehadiran bungkusan mengan­dungi serbuk disyaki dadah jenis ketamin yang disorok di bawah timbunan kain sari di dalam bagasi tersebut.

“Siasatan awal mendapati, lelaki warga India itu sengaja memilih untuk mendarat di LTSM kerana menyangkakan kawalan pemeriksaan di lapangan terbang itu longgar berbanding KLIA yang merupakan lapangan terbang antarabangsa.

“Ini merupakan kali ketiga, lelaki warga India berkenaan memasuki Malaysia sebagai keldai dadah. Pada Januari dan Mac lalu, suspek berjaya melepasi pemeriksaan di KLIA,” katanya.

Aidid memberitahu, siasatan awal juga mendapati lelaki warga India yang mempunyai tiga anak itu dibayar upah RM700 bagi setiap tugasan membawa dadah ke negara ini.

Katanya, pihaknya juga percaya serbuk disyaki dadah yang dibawanya itu dalam rancangan  dihantar ke negeri lain sebelum diproses.

Suspek direman 12 hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment