Translate

Saturday, May 6, 2017

T-Team tetap teruskan perjuangan

Oleh MOHD. AZLI ADLAN

PASUKAN berstatus kelab, T-Team mahu melupakan hukuman denda pemotongan 6 mata oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) pada Selasa lalu, sebaliknya terus fokus memburu kemenangan pada aksi Liga Super menentang Perak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu malam ini.

Pengendalinya, Rahmad Darmawan berkata, beliau tidak mahu isu tersebut menjejaskan prestasi anak-anak buahnya yang sebelum ini berada pada tahap tertinggi selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut di laman sendiri dengan menjinakkan Kedah dan Selangor.

“Kita tidak menyangka menerima hukuman seberat ini namun isu tersebut yang khabarnya sudah dalam peringkat rayuan diserahkan sepenuh kepada pengurusan pasukan.

“Buat masa ini, anggaplah sudah kehilangan mata. Oleh itu, kita perlu bekerja lebih keras mengejar semula (mata) bermula dengan menewaskan Perak pada malam esok (malam ini),” kata Rahmad ketika ditemui Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Rahmad berkata, beliau telah mengatur taktikal berbeza berban­ding aksi-aksi sebelum ini sebagai strategi ampuh bagi menundukkan skuad The Bos Gaurus kendalian Mehmed Durakovic.

Pengendali berpengalaman dari Indonesia itu berkata, Perak pastinya telah mengambil pengajaran berguna daripada pertemuan pertama kedua-dua pasukan pada aksi di Stadium Ipoh pada 8 April lalu.

“Waktu itu mereka mungkin memandang remeh sedikit kemampuan pasukan ini (T-Team) sehingga kita mudah menjaringkan gol menerusi strategi serangan balas. Saya yakin Perak akan tampil lebih berdisiplin pada aksi malam esok (ini) dan pemain-pemain saya sudah bersedia untuk melayan kunjungan pasukan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment