Translate

Tuesday, May 2, 2017

Maut ketika hendak memancing

Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan EZZUAN AHMAD

KEMAMAN – Dua sahabat maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan tiga kende­raan di Kilometer 25 Jalan Mak Lagam-Cheneh berhampiran Bandar Cheneh Baru dekat sini semalam.
Dalam insiden pada pukul 2.30 petang itu, Safie Yusof, 28, dan rakan pemboncengnya, Rosli Husin, 20, yang menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecede­raan parah pada kepala.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, pemandu kende­raan utiliti sukan (SUV), Toyota Harrier, Mohd. Hafeez Sulong, 25, mengalami kecede­raan parah pada kepala dan dalaman badan. Kea­daan dia kini dilaporkan kritikal.

Beliau berkata, pasangan suami isteri, Mohd. Yusmali Mohd. Yusoff, 51, dan Zaleha Abu Bakar, 49, dari Kuarters Ladang Tabung Tentera Air Putih di sini yang menaiki kenderaan pacuan empat roda, Ford Ran­ger pula cedera parah.

“Semasa kejadian, kenderaan Toyota Harrier dipandu Mohd. Hafeez tiba-tiba hilang kawalan di lokasi kejadian yang merupakan laluan selekoh tajam.

“Kenderaan SUV itu terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal yang dinaiki Safie dan rakannya.
“Rempuhan itu menyebabkan dua sahabat terbabit yang dikatakan dalam perjalanan untuk memancing di sungai berhampiran tercampak ke dalam sebuah cerun yang terletak di tepi jalan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Mohd. Said berkata, Toyota Harrier itu yang telah menghalang jalan raya kemudian dirempuh kenderaan pacuan empat roda, Ford Ranger dipandu Mohd. Yusmali yang berada di belakang motosikal dinaiki Safie dan rakannya.
Menurut beliau, mayat Safie dan Rosli yang merupakan pekerja ladang dan berasal dari Cherating, Kuantan, Pahang telah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kemaman di sini untuk dibedah siasat.

“Mohd. Yusmali yang patah kedua-dua belah kaki dan ta­ngan serta isterinya pula patah tulang rusuk serta tangan kiri telah dikejarkan di unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Mohd. Hafeez yang berasal dari Felda Neram 2, Cheneh dekat sini pula dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu berikutan keadaannya kini yang dilaporkan kritikal,” katanya.

Mohd. Said berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian.

No comments:

Post a Comment