Translate

Thursday, January 8, 2026

Peguam didakwa subahat edar, miliki dadah

 

  • Oleh MOHD AZLI ADLAN

MARANG – Seorang peguam dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan bersubahat dengan seorang banduan Penjara Marang mengedar dan memiliki dadah pada akhir bulan lalu.

Tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh, Che Muhammad Amir Syafiq Che Musa, 32, sekadar mengangguk faham sebaik kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh dituduh bersubahat dengan Muhammad Syafiq Syahmi Mohamad Zafri, 26, mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 123 gram.

Perbuatan tersebut didakwa Che Muhammad Amir Syafiq di dalam lokap Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu antara pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari, 23 Disember lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup mengikut Seksyen 39B (2) akta sama jika sabit kesalahan.

Dia turut menghadapi pertuduhan bersubahat dengan individu sama memiliki dadah jenis ganja seberat 21 gram dan nimetazepam seberat 13 gram di lokasi, tarikh dan masa sama.

Che Muhammad Amir Syafiq didakwa mengikut Seksyen 33 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta antara tiga dan sembilan sebatan jika sabit kesalahan.

Kosmo! 2 Januari lalu melaporkan seorang peguam lelaki ditahan bagi membantu siasatan bersubahat menyeludup masuk dadah ke dalam Penjara Marang pada minggu lalu. – KOSMO! ONLINE

No comments:

Post a Comment