Oleh MOHD. AZLI ADLAN
KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan baharu bagi menangani isu kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam melebihi 7.5 tan ke atas pada Mei ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, ini berikutan terdapat peningkatan kes kemalangan melibatkan kenderaan berat terutama lori sejak akhir-akhir ini.
Katanya, antara elemen yang akan ditekankan dalam garis panduan itu ialah larangan sepenuhnya kenderaan perdagangan melebihi 7.5 tan memandu di lorong paling kanan di lebuh raya mahu pun jalan Persekutuan dan negeri.
“Tindakan mengeluarkan notis kompaun dan tahan (sita) boleh diambil pasukan penguat kuasa JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya arahan itu tidak dipatuhi.
“Selain itu, kita juga akan mengambil pendekatan jangka sederhana dan panjang bagi menangani isu kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan ini,” katanya pada Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri JPJ Terengganu di sini kelmarin.
Katanya, memandu melebihi had laju ditetapkan iaitu maksimum 80 kilometer sejam (km/j) di jalan Persekutuan dan negeri serta 90km/j di lebuh raya dikenal pasti antara punca utama peningkatan kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan perdagangan termasuk pada musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.
Menurutnya, perincian garis panduan berhubung tindakan penguatkuasaan terhadap kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam yang melanggar had laju itu dalam penelitian JPJ bersama semua pemegang taruh termasuk Kementerian Pengangkutan.
Kelmarin media melaporkan, kira-kira 20 buah kenderaan mengalami kerosakan akibat dirempuh sebuah lori di susur keluar berdekatan Plaza Tol Serenia, Dengkil, Selangor.
Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka milik salah seorang pengguna jalan raya di lokasi kejadian, lori terbabit meluncur laju dari arah belakang sebelum menghentam deretan kenderaan yang berhenti disebabkan kesesakan trafik.

No comments:
Post a Comment