Translate

Thursday, January 8, 2026

Hujan lebat lima hari bermula hari ini

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

HULU TERENGGANU – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir gelombang baharu ekoran kemunculan satu lagi luruan hujan di Pantai Timur dan utara bermula hari ini. 

Ketua Pengarah Agensi Nadma, Meor Ismail Meor Akim berkata, episod hujan lebat selama lima hari sehingga Jumaat tersebut merupakan kelima sejak bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) pada November tahun lalu. 

“Diikutkan negara diramal menerima enam atau tujuh luruan hujan lebat sepanjang tempoh MTL kali ini dan kita telah menghadapi empat (episod) sebelum ini. 

“Semua agensi (penyelamat) telah bersiap siaga menghadapi luruan hujan terbaharu yang dijangka berlaku esok (hari ini) iaitu 5 hingga 9 Januari ini,” katanya selepas menyaksikan majlis penyerahan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) SMK Matang di sini semalam. 

Terdahulu MetMalaysia mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan peringkat Waspada susulan jangkaan hujan berpanjangan dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang. 

Beberapa daerah di Pahang seperti Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan, dan Rompin turut dijangka mengalami hujan berterusan sehingga Jumaat. 

Kosmo! kelmarin melaporkan, sebanyak 64 perkampungan terletak di 13 muara sungai di semua daerah di negeri ini kecuali Hulu Terengganu berisiko dinaiki air berikutan fenomena air pasang tinggi diramal berlarutan itu, 

Selain itu, setakat ini, empat negeri iaitu Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak masih terjejas banjir kesan daripada luruan hujan terdahulu tetapi ia tidak begitu membimbangkan.

No comments:

Post a Comment