KUALA TERENGGANU – Gara-gara terjebak dengan ‘cinta maya’ dengan lelaki tidak dikenali, seorang pesara sektor perbankan kerugian RM677,146 selepas menjadi mangsa skim pelaburan kasino palsu baru-baru ini.
Wanita berusia 64 tahun itu hanya mengetahui dia menjadi mangsa penipuan selepas dimaklumkan oleh anak dan menantunya sebelum dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 8.08 pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, wanita warga emas tersebut mula berkenalan dengan lelaki berkenaan apabila dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp pada pukul 1 tengah hari, 9 Februari lalu.
“Mangsa mengaku menjalin hubungan cinta alam maya sebelum menerima pelawaan lelaki terbabit untuk menyertai skim pelaburan kasino yang kononnya berpengkalan di Singapura.
“Dia kemudiannya membuat pelaburan menggunakan wang simpanannya di akaun tetap dan simpanan serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.
Azli berkata, wang pelaburan berjumlah keseluruhan RM677,146 itu dipindahkan pesara terbabit ke dalam beberapa akaun bank diberi ‘teman lelakinya'.
Beliau berkata, wanita warga emas tersebut bagaimanapun mula curiga apabila tidak memperolehi sebarang keuntungan dijanjikan.
“Mangsa mengadu kepada anak dan menantunya sebelum dimaklumkan dia mungkin sudah menjadi mangsa penipuan.
“Dia kemudiannya membuat laporan polis berhubung kes tersebut yang sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:
Post a Comment