Translate

Sunday, January 18, 2026

Dua lelaki didakwa edar dadah 600 kg

 KUALA TERENGGANU – Dua lelaki berhadapan hukuman gantung sampai mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas pertuduhan mengedar hampir 600 kilogram (kg) dadah methamphetamine dan heroin. 

Tertuduh pertama, Nik Khairil Shahruzie Nik Roslan, 32, menghadapi dua pertuduhan, manakala Mohd. Reduan Meor Hussin, 38, pula berhadapan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

 Tiada pengakuan direkodkan dan mereka sekadar mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkili. 

Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd. Reduan dan Nik Khairil Shahruzie didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas mengedar dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 480.30 kg.

 Mereka juga didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas mengedar jenis heroin dianggarkan seberat 109.89 kg. 

Kedua-kedua perbuatan itu didakwa dilakukan Mohd. Reduan dan Nik Khairil Shahruzie di tebing Sungai Setiu pada pukul 9 malam, 23 April lalu. 

Mohd. Reduan turut menghadapi pertuduhan ketiga mengedar dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 1,020 gram di Pulau Tok Bilal, Setiu pada pukul 10 malam, 23 April lalu. 

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dua tertuduh terbabit didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan minimum 15 sebatan jika sabit kesalahan. 

Hakim Mohd. Zul Zakiqudin tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 3 Ogos ini di Mahkamah Majistret Setiu. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Najah Azhar, manakala Mohd. Reduan diwakili peguam Syameer Haziq Shaharuddin. 

Peguam Anasuha Atiqah Mat Saidi dan Muhammad Izzat Hasizan pula mewakili Nik Khairil Shahruzie.

 Kosmo! kelmarin melaporkan, polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai mahu menyeludup dadah bernilai keseluruhan RM25 juta ke Australia. 

Anggota sindiket berkenaan menggunakan modus operandi menyewa bot pelancong untuk memunggah dadah tersebut.

No comments:

Post a Comment