Translate

Saturday, January 17, 2026

Pelatih ABM diterap asas keusahawanan

 

HULU TERENGGANU – Silibus program kemahiran industri pembinaan dan perkhidmatan teknikal di Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Technologies akan diperkasa dengan modul asas keusahawanan. 

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, modul baharu itu bertujuan memberi pendedahan dan nilai tambah terhadap pelatih institusi kemahiran tersebut untuk menjadi usahawan.

 Katanya, kerajaan menyasarkan lebih ramai pelatih memberanikan diri untuk membuka syarikat sendiri bagi mengembangkan kerjaya masing-masing berbanding makan gaji semata-mata. 

“Saya mahu modul asas keusahawanan diterap secara formal dalam (silibus) semua program kemahiran di ABM dan CIDB Technologies. 

“Modul pengajaran asas keusahawanan itu boleh dibangunkan dengan kerjasama universiti tempatan berhampiran (dengan kampus ABM),” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di ABM Wilayah Timur di sini semalam. 

Ahmad berkata, ABM mempunyai lima cawangan di setiap wilayah di negara ini dan setiap kampus mengeluarkan kira-kira 1,000 pelatih setahun. 

Katanya, kadar kebolehpasaran pelatih ABM dan CIDB Technologies amat tinggi iaitu 96 peratus.

 “Sebanyak 81 peratus pelatihan keluaran ABM dan CIDB Technologies bekerja dalam bidang dipelajari mereka dengan purata gaji permulaan RM2,500 sebulan. 

“Harapan kita lebih ramai pelatih akan memberanikan diri membuka syarikat sendiri untuk menggaji orang lain pula dengan pengenalan modul keusahawanan,” katanya. 

Menurutnya, silibus kursus industri pembinaan dan perkhidmatan teknikal di ABM dan CIDB Technologies sentiasa ditambah baik dengan penggunaan teknologi terkini sesuai dengan keperluan industri semasa. 

“Antara program pembangunan kemahiran kritikal yang diberi tumpuan ABM ialah kimpalan, pemasangan paip gas, penyaman udara dan penyejukan serta ISO 9001,” katanya

No comments:

Post a Comment