Translate

Friday, January 16, 2026

Syabu, heroin dalam bot pancing

 

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

SETIU – Rahsia dua lelaki yang menyewa bot kononnya untuk pergi memancing terbongkar apabila mereka didapati cuba menyeludup syabu dan heroin bernilai RM25 juta dalam kejadian di tebing Sungai Setiu di sini baru-baru ini. 

Suspek berusia 32 dan 39 tahun itu diberkas dalam serbuan pada pukul 9 malam 23 April lalu selepas polis menjalankan siasatan sebaik menerima maklumat awam. 

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, suspek merupakan ahli sindiket yang menjadikan kawasan itu sebagai transit sebelum menghantar dadah itu ke Australia. 

Katanya, syabu seberat 480.29 kilogram (kg) dan heroin (109.89kg) dibawa masuk dari kawasan segitiga emas di sempadan Thailand menggunakan kapal dari Vietnam. “Kapal itu kemudian masuk ke perairan Kelantan seterusnya ke Terengganu sebelum dialihkan ke Pulau Tok Bilal di sini dengan bot laju untuk pembungkusan semula.

 “Bot itu disewa kononnya untuk pakej memancing tiga hari dua malam oleh suspek,” katanya pada sidang akhbar di sini. 

Menurut Mohd. Salahuddin, salah seorang suspek ditahan ketika memunggah 29 beg mengandungi dadah berkenaan dari bot laju di tebing sungai pada pukul 9 malam. 

Tambahnya, rakannya pula diberkas di Pulau Tok Bilal yang terletak 500 meter dari tebing sungai itu. “Pemeriksaan menemui satu beg mengandungi dadah jenis syabu seberat satu kilogram. 

“Kita percaya dua jenis dadah tersebut yang mampu meme nuhi permintaan 2.95 juta penagih dadah mahu diseludup masuk ke Australia melalui jalan laut,” katanya. 

Mohd. Salahuddin berkata, selain dadah polis turut me rampas kereta jenis Toyota Vios dan Honda Civic serta motosikal Honda EX5 selain barangan kemas, topi keledar dan wang tunai RM1,631 disyaki hasil jualan dadah bernilai keseluruhan RM46,000. 

Beliau berkata, siasatan juga mendapati dua suspek tersebut menerima upah RM50,000 bagi tugas memunggah dadah yang bakal dihantar ke Australia berkenaan. 

“Ujian urin pula mendapati kedua-dua lelaki itu negatif dadah selain suspek pertama memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan aktiviti rumah judi. 

“Mereka ditahan reman selama 14 hari sehingga 7 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. 

Mohd. Salahuddin berkata, kes transit dadah menerusi jalan laut di perairan Pantai Timur dikesan semakin menjadi-jadi sejak pintu sempadan di Sungai Golok, Kelantan dikawal ketat sejak tahun lalu. Polis sedia mengawal keadaan.

No comments:

Post a Comment