Oleh MOHD. AZLI ADLAN dan NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki mendakwa pemandu yang melanggar mati Syakirah Hanan Mazli, 25, di Jalan Kemajuan di sini kelmarin telah menceroboh kereta jenis Honda City miliknya sebelum melarikan dompet mengandungi RM200.
Mohd. Hanafi Mamat, 29, berkata, lelaki itu berkelakuan pelik mencuri topi dan makanan segera sebelum makan di dalam keretanya yang diletakkan di tepi jalan.
Katanya, dia kembali ke kereta selepas teringat tertinggal dompet dan kunci di dalam keretanya pada waktu rehat.
“Bila masuk, saya hairan apabila lihat ada sisa makanan dan topi yang bukan milik saya. Saya semak rakaman video papan pemuka dan nampak lelaki berbaju kuning masuk.
“Dia makan dan ambil dompet saya yang mengandungi RM200. Lelaki itu juga sempat menghidupkan enjin sebelum beredar dan memandu kereta Honda Jazz di sebelah,” katanya.
Menurut Mohd. Hanafi, semakan CCTV mengesahkan individu sama telah mengambil makanan segera di dalam rak simpanan pekerja.
Tambahnya, tidak lama kemudian dia terkejut apabila dimaklumkan lelaki itu terlibat dalam kemalangan selepas melihat video tular di media sosial.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor memberitahu, selepas suspek masuk ke kereta Honda Jazz, dia telah memecut laju sebelum merempuh Perodua Viva.
“Kereta itu pula milik adiknya. Dia yang bekerja sendiri menghidap penyakit mental dan telah menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini sejak Januari tahun lalu,” katanya.
Menurut Azli, suspek mengalami patah tangan kanan dan luka kecil di badan kini ditahan bagi membantu siasatan.
Terdahulu pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin itu maut selepas kereta Perodua Viva dipandu dirempuh kereta Honda Jazz dipecut laju suspek di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan.

No comments:
Post a Comment