KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) maut selepas kereta Perodua Viva dipandunya dirempuh sebuah kereta Honda Jazz di persimpangan lampu isyarat Jalan Kemajuan di sini semalam.
Sebelum kemalangan pada pukul 1.39 tengah hari itu, mangsa, Syakirah Hanan Mazli, 25, dalam perjalanan menghala Jalan Bukit Kecil selepas selesai mengulang kaji pelajaran di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu.
Sewaktu membelok dari persimpangan lampu isyarat yang dikatakan bertukar hijau, kereta dipandu pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam itu tiba-tiba dirempuh Honda Jazz dipandu seorang lelaki dari arah pusat bandar raya.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mohd. Salleh Abdullah berkata, sepasukan angggota mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mayat Syakirah Hanan yang tersepit di dalam kereta.
Katanya, mayat pelajar wanita itu telah diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
“Pemandu lelaki Honda Jazz yang cedera pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama untuk menerima rawatan,” katanya.

No comments:
Post a Comment