Oleh MOHD. AZLI ADLAN
MARANG – Kegiatan melombong emas secara haram yang dilakukan secara berleluasa di sekitar Rusila di sini, digempur Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA) melibatkan rampasan berjumlah RM4 juta kelmarin.
Operasi yang dilaksanakan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu selama tiga jam bermula pukul 2.15 petang itu melibatkan empat lokasi di Taman Desa Impian, Kampung Rusila dan Lubuk Terak di sini.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, seramai 26 lelaki berusia 17 hingga 61 tahun disyaki pelombong haram diberkas dalam Op Bersepadu Khazanah itu.
Katanya, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan 11 lelaki berusia 32 hingga 56 tahun yang sedang melombong emas di Taman Desa Impian.
“Peralatan seperti jentera jentolak, mesin pencuci batu dan pam air yang dipercayai digunakan untuk melombong emas bernilai RM450,000 dirampas,” katanya semalam.
Nik Ros Azhan berkata, serbuan kedua di Kampung Rusila pada pukul 3 petang pula berjaya menahan lapan lagi lelaki berusia 17 hingga 46 tahun dipercayai pelombong haram.
Dalam operasi itu, pihaknya merampas sejumlah peralatan dan jentera bernilai RM510,000.
“Seterusnya kami menyerbu sebuah lagi tapak perlombongan haram berhampiran Kampung Rusila pukul 4 petang dan memberkas seramai tujuh lelaki berusia 28 hingga 61 tahun.
“Sebuah lori, tiga buah jentera berat, mesin pencuci batu dan mesin pam air bernilai RM1.15 juta berjaya dirampas,” katanya.
Dalam serbuan keempat di Lubuk Terak, pihak berkuasa menahan seorang lelaki berusia 57 tahun disyaki pelombong haram dan merampas barangan bernilai RM1.89 juta.
“Siasatan awal mendapati mereka yang ditahan gagal mengemukakan lesen perlombongan yang sah. “Tangkapan dan barangan rampasan diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian Terengganu untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Akta Enakmen Mineral Terengganu 2002 iaitu melombong tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa negeri.
Tambahnya, PGA akan terus mempergiatkan usaha mengekang kegiatan perlombongan haram daripada terus berleluasa di negara ini.
Rusila merupakan antara kawasan perlombongan emas yang masih aktif di Terengganu dengan sebahagian besar lesen perlombongan diberikan kepada Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu.
Kawasan itu pernah menjadi tumpuan aktiviti mendulang emas pada tahun 1980-an sebelum ditutup pada 1990 ekoran tragedi Lubuk Mandi yang mengorbankan pendulang pada 1988.

No comments:
Post a Comment