KUALA TERENGGANU – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyasar sekurangkurangnya sebuah pusat masakan kendalian agensi itu di setiap negeri akan memiliki sijil pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata, penerimaan sijil pengesahan halal berkenaan bakal membuka lebih peluang pasaran terhadap produk makanan dihasilkan pelatih Kemas termasuk ke peringkat antarabangsa.
“Pusat Masakan Kemas merupakan fasiliti yang digunakan peserta dalam kalangan masyarakat luar bandar untuk mengeluarkan produk makanan.
“Sebagai individu, mungkin mereka payah tetapi sekiranya pusat masakan kita yang memperolehi sijil pengesahan tersebut, produk dikeluarkan boleh mendapat status halal,” katanya ketika ditemui pada program Desa Cerdas di Kampung Pulau Manis di sini kelmarin.
Menurutnya, Pusat Masakan Kemas aktif menganjurkan bengkel-bengkel masakan melatih masyarakat luar bandar.
Katanya, kursus dianjurkan diiktiraf sehingga mencapai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga yang setara diploma.
“Kemas juga bercadang menyemak semula garis panduan program Quick Win yang melatih individu dengan kemahiran tertentu seperti memasak, dandanan rambut dan selenggara komputer bagi membantu mereka memulakan perniagaan,” ujarnya.
Katanya, Kemas bercadang untuk menukar pendekatan sedia ada yang memberi secara percuma peralatan berkaitan perniagaan berkenaan kepada setiap peserta program terbabit.
“Kami berpandangan lebih baik peralatan tersebut diletakkan di bengkel-bengkel kemahiran milik Kemas di seluruh negara.
“Ia bukan sahaja boleh memberi manfaat kepada lebih ramai peserta, malah ekonomik dan memastikan pulangan atas pelaburan (ROI) lebih tinggi,” katanya.
No comments:
Post a Comment