Translate

Sunday, January 25, 2026

‘Kami bangga jadi keluarga pendidik’

 

Oleh MOHD AZLI ADLAN, ALANI NIZAM dan ABDUL RAZAK IDRIS

KUALA TERENGGANU – Tiada apa yang lebih membahagiakan buat seorang ibu selain melihat tiga daripada empat anaknya mengikut jejak langkahnya menjadi seorang guru.

 Malah, Raja Rosmawati Raja Omar, 54, yang merupakan guru Bahasa Inggeris di Sekolah Kebangsaan (SK) Rengas Bekah juga cukup berbangga apabila dua menantunya turut memilih kerjaya sebagai pendidik. 

Raja Rosmawati berkata, anak sulungnya, Nizatul Nurain Mazubir, 32, kini mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tembila, Besut, manakala anak kedua dan ketiga iaitu Nafi’uddin Naim, 28, dan Nuwairah  Nurawadah, 26, pula merantau ke negeri lain demi kecintaan terhadap profesion perguruan. 

“Mereka masing-masing mengajar di SK Abang Aing, Sri Aman, Sarawak dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Padang Grus, Lenggong, Perak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Manir di sini semalam. 

Beliau berkata, kerjayanya sebagai seorang guru bermula pada tahun 1997 apabila dia memilih bidang perguruan sebagai menyempurnakan impian ibunya, Puteh Mamat, 75. 

“Ibu sering bercerita dia pernah menerima tawaran sebagai pendidik sewaktu mudanya, tetapi terpaksa ditolak akibat kekangan keluarga. 

“Cita-citanya terkubur dan dia membesarkan kami tujuh beradik dengan menoreh getah dan bertani. Saya ditakdirkan menjadi satu-satu anak ibu yang menyambung impian tersebut.

 “Tidak sangka dedikasi saya mendidik selama lebih 20 tahun menjadi dorongan dan inspirasi kepada tiga anak untuk samasama menjadi guru,” katanya. 

Raja Rosmawati berkata, anak bongsunya, Lukman Nur Adam, 22, yang kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) juga menunjukkan kecenderungan untuk menjadi guru.

 “Saya sering menasihatkan anak-anak agar sentiasa memandang anak murid dengan penuh kasih sayang,” katanya. 

Di Putrajaya, minat mendalam terhadap dunia pendidikan menjadi titik penyatu lima beradik apabila mereka memilih profesion tenaga pengajar sebagai kerjaya. 

Noriah Siren, 56, yang kini bertugas di Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI Abdullah Ibn Mas’ud (SIRAJ AIM) Presint 11, berkata, walaupun tidak semua bergelar guru sekolah, namun ada adik beradiknya berkhidmat sebagai guru dalam bidang masakan selain bertugas sebagai pensyarah.

 “Kakak sulung pernah menjadi guru sekolah menengah dan kini sudah pencen, manakala kakak kedua mengajar di sekolah khas sedangkan kakak keempat pula merupakan pensyarah di Universiti Malaya. 

“Adik bongsu kami pula menjadi guru masakan dan kraftangan di Baitul Ehsan,” katanya.

 Menurutnya, dorongan daripada keluarga terutama ibu menjadi pembakar semangat utama untuk mereka menjadi pendidik.

 “Ibu selalu kata, kalau jadi cikgu, orang akan doakan kita. Itu yang buat saya terima tawaran menjadi guru walaupun ketika itu saya baru memasuki Tingkatan Enam,” katanya. 

Tambahnya, kakak sulung, Noor Laila Ghafar, 67, turut menjadi pencetus inspirasi apabila banyak membantu dalam pelajaran dan mencetuskan minat untuk menjadi guru.

 “Dulu dia selalu ajak saya menanda kertas ujian anak muridnya. Saya seronok dan rasa tertarik. Dia juga ada banyak beri bimbingan. 

Dari situ timbul minat untuk jadi guru,” katanya. 

Mengimbas kembali kenangan manis sepanjang bergelar pendidik, Noriah mengakui pencapaian anak-anak muridnya adalah antara kebanggaan terbesar buat dirinya.

No comments:

Post a Comment