KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga wanita kerugian RM26,100 akibat diperdaya dengan urus niaga tempahan hamper raya mengandungi kurma dan coklat premium konon oleh sebuah universiti awam di Dungun yang sebenarnya tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, peniaga berusia 46 tahun itu menerima panggilan daripada seorang wanita mengaku kakitangan universiti awam tersebut pada pukul 2.30 petang, Isnin lalu.
“Mangsa menerima tempahan 135 hamper raya kononnya bagi majlis sambutan Aidilfitri peringkat universiti awam yang dijadual diadakan semalam (kelmarin).
“Rabu lalu, suspek menghubungi mangsa semula kononnya mahu membuat tempahan tambahan 145 unit kurma dan coklat premium bagi tujuan sama,” katanya di sini semalam.
Azli berkata, suspek seterusnya mencadangkan pembekal kurma dan coklat premium tersebut kepada peniaga wanita terbabit.
“Mangsa kemudian membuat pembayaran tempahan kurma dan coklat premium tersebut sebanyak RM21,600 daripada ‘pembekal’ berkenaan menerusi tiga transaksi.
“Bagaimanapun mangsa mula curiga apabila suspek tidak mengambil tempahan hamper raya dari rumahnya di Kampung Gong Kijing, Kuala Nerus seperti dijanjikan,” katanya.
Azli berkata, suspek juga gagal dihubungi, manakala pengurusan universiti awam terbabit menafikan ada membuat tempahan hamper raya tersebut.
“Mangsa kemudian membuat laporan pada pukul 12.36 tengah hari, kelmarin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment