Translate

Monday, January 26, 2026

Hasrat ke himpunan Yamaha RXZ berkecai

Oleh MOHD. AZLI ADLAN 

KUALA TERENGGANU – Hasrat tiga lelaki menyertai perhimpunan motosikal Yamaha RXZ di Kuantan, Pahang tidak kesampaian apabila mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 430, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini, semalam. 

Kemalangan pada pukul 8.45 pagi itu menyebabkan Mohamad Faizal Adam Azhar, 31, yang berasal dari Kubang Kerian, Kelantan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan. 

Dua lagi mangsa berusia 26 dan 29 tahun yang juga menunggang motosikal RXZ pula masingmasing cedera parah pada bahagian kepala. 

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Kelantan itu dalam perjalanan untuk menyertai perhimpunan motosikal Yamaha RXZ di Teluk Cempedak, Kuantan. 

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca selepas motosikal Yahama RXZ ditunggangi salah seorang daripada mereka dikatakan dirempuh dari arah belakang oleh motosikal dinaiki Mohamad Faizal Adam. 

“Impak pelanggaran tersebut menyebabkan motosikal yang dirempuh telah mengelungsur ke hadapan lalu merempuh sebuah lagi motosikal Yamaha RXZ,” katanya di sini semalam. 

Azli berkata, ketiga-tiga motosikal Yamaha RXZ ditunggang kesemua mangsa kemudiannya terjatuh lalu terseret sejauh beberapa meter di atas lebuh raya. 

Katanya, motosikal milik Mohamad Faizal Adam seterusnya tercampak ke dalam longkang di tepi lebuh raya. 

“Mayat Mohamad Faizal Adam telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk tindakan lanjut. 

“Dua lagi mangsa yang cedera parah pula dikejarkan ke unit kecemasan hospital sama bagi menerima rawatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment